Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Projek Rintis Bangunan Daifdi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2023.

BANGI – Penjelasan perlu diberikan kepada anak-anak tentang sejarah kekejaman yang berlaku di Palestin sejak berpuluh tahun dahulu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak yang bertanggungjawab yang memberi penerangan tidak harus membawa idea permusuhan dalam kalangan masyarakat.

“Yang dizalimi di Palestin majoriti orang Islam ada juga Kristian, jadi orang yang menerangkan ini kena ingat jangan kita bawa idea permusuhan dalam kalangan kita.

“Kita nak didik supaya anak-anak faham, janganlah hal-hal ini jadi isu peningkatan suhu perbezaan pendapatan kita jalankan sekadar upaya kita. Kita tidak memaksa tapi supaya kita dapat memberi kefahaman.

“Jadi anak-anak harus tahu apa isu Palestin ini, mengapa Israel menyerang Gaza, tanah dirampas, rumah dipecahkan, rakyat tidak diberi kebebasan hak sejak 70 tahun,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

Jelas beliau, atas semangat kemanusiaan satu dunia yang menentang kekejaman Israel kini bersuara dan menunjukkan sokongan masing-masing.

“Sekarang semua buat solat hajat, buat perhimpunan, rakyat Amerika Syarikat juga tidak setuju kekejaman Israel,” katanya. -MalaysiaGazette