Pengasas TOS, Joey Tan (lima dari kiri) ketika majlis pelancaran ruang pameran baharu TOS di Semenyih, Selangor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat perintis dalam industri seni bina luaran The One Steel Project Sdn. Bhd. (TOS) meraikan pembukaan ruang pameran terbaharunya di Semenyih dekat sini baru-baru ini.

Sebagai sebuah syarikat dalam industri seni bina luaran, perasmian atau pembukaan bilik pameran baharu untuk dikunjungi oleh orang ramai merupakan satu detik bersejarah.

TOS yang ditubuhkan pada 2006 terkenal sebagai syarikat perintis yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seni bina termasuk sambungan kaca rumah, seni bina bumbung eksklusif, bumbung kaca dan pembinaan lantai mezzanine.

Syarikat itu cukup terkenal dengan hasil kerjanya yang teliti dan turut terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian ruang seperti taman, balkoni dan beranda sehinggalah kawasan memiliki fungsi cukup estetik umpama sebuah resort.

Pengasasnya, Joey Tan dalam kenyataan berkata, pembukaan ruang pameran itu merupakan satu langkah yang cukup signifikan dalam industri berkenaan.

“Pembukaan ruang pameran TOS melambangkan satu langkah yang signifikan dalam industri ini. Justeru, kami akan terus menjadi perintis dalam menghasilkan ruang luar bangunan yang bukan sahaja penuh fungsi, malah memiliki estetika menawan,” katanya.

Pada majlis itu juga, Tan yang digelar sebagai wanita besi dalam industri seni bina berkongsi pengalaman sebagai usahawan wanita dalam industri didominasi oleh kaum lelaki itu.

Jelas Tan, cabaran dan kejayaan merupakan asam garam yang perlu ditempuh sepanjang bergelar usahawan.

Berpegang teguh dengan mantra korporat syarikat iaitu; The 3Ds : We Direct, We Design, We Develop’, dia bersama 60 juruteknik berkemahiran berjaya memberikan solusi terbaik dalam industri seni bina.

Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Majlis Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan, Datuk Dr. AT Kumararajah. – MalaysiaGazette