PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seorang lelaki mengalami kecedaraan parah selepas ditetak beberapa kali oleh dua lelaki bertopeng dalam kejadian di Kampung Wakaf Berangan, Pasir Puteh, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada kira-kira 10.30 malam.

“Kejadian berlaku ketika mangsa yang berumur 55 tahun bersama seorang rakannya berada di sebuah kedai kopi.

“Dua individu bertopeng bersenjatakan pedang kemudian datang menyerang serta menetak mangsa beberapa kali di bahagian badan dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Zaizul Rizal berkata, kedua-dua suspek terus melarikan diri menggunakan sebuah kereta dipercayai Proton Saga, warna kelabu yang dipandu oleh suspek ketiga.

Beliau berkata, mangsa telah dihantar menerima rawatan awal di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan kini telah dirujuk kepada pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana dilaporkan mengalami kecederaan yang serius.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih belum dikenal pasti,” katanya. – Bernama