Penyelidik UM dan pelajar Victoria Institution dalam Program inovatif 'Asimilasi Pengurusan Sisa yang Betul, Habit Kitar Semula, dan Kitar Tinggi'.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) menganjurkan program “Asimilasi Pengurusan Sisa yang Betul, Habit Kitar Semula, dan Kitar Tinggi dengan kolaborasi  Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares), Dialog ESECO Sdn. Bhd dan Victoria Institution (VI).

Ketua Penyelidik program itu, Dr. Asbah Razali berkata, program tersebut memberi pendedahan dan kesedaran awal kepada para pelajar sekolah menengah berkaitan dengan amalan pengurusan sisa dan kitar semula yang betul.

Program itu turut memberi tumpuan kepada pengurangan penggunaan plastik, bagi membantu negara mencapai tahap 40 peratus pengitaran semula menjelang tahun 2025 dan mencapai status negara neutral karbon pada tahun 2050.

“Kami percaya membudayakan kesedaran ini dalam kalangan generasi muda adalah kunci untuk masa depan yang lebih lestari.

“Program inovatif yang julung kali diadakan ini melibatkan beberapa sekolah di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Program kitar semula itu dilaksanakan bersama pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 4 VI.

Para pelajar berjaya mengumpulkan sebanyak 326 kilogram bahan buangan kitar semula dan jumlah ini adalah bersamaan dengan pengurangan penghasilan karbon dioksida sebanyak 960.9 kilogram.

Menurut Dr. Asbah, program itu mempunyai matlamat jangka panjang untuk membentuk budaya yang berterusan dalam kalangan pelajar.

“Kami berharap program ini dapat menjadi satu budaya yang berterusan, seterusnya memberikan impak positif dalam diri pelajar untuk tabiat pengurusan sisa yang betul,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast