Panelis yang merupakan penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir bercakap pada Program PLATFROM MG Edisi 2 Suara Malaysia Untuk Palestin di Pusat beli belah Datum Jelatek di Taman Keramat, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 08 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat korporat diminta untuk berganding bahu bagi sama-sama membantu pembangunan semula infrastruktur di Gaza yang telah musnah akibat kekejaman zionis.

Pandangan itu dilontarkan Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir.

Beliau yang juga ahli korporat berkata, ketika ini banyak pihak sibuk untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada warga Palestin namun di sudut lain mungkin tidak ramai yang nampak tentang kesan akibat kemusnahan harta benda termasuk infrastruktur di negara itu perlu untuk dibangunkan semula.

“Sebagai contoh yang saya nak katakan macam sekolah…banyak sekolah-sekolah yang musnah akibat pengeboman oleh pihak zionis…inilah yang kia kena lihat untuk dibangun semula.

“Bagi tujuan itu saya sarankan agar ditubuhkan satu reconstruction fund (dana pembinaan semula) yang boleh dikutip daripada badan-badan korporat di negara ini dalam usaha membantu pembangunan semula di Gaza,” katanya ketika menjadi panelis dalam Program Platform MG edisi dua bertajuk Tanpa Prasangka di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Syed Zainal berkata, selain itu banyak lagi yang boleh dilakukan oleh syarikat dan badan korporat dalam membantu pembangunan semula Palestin.

Katanya, semua itu boleh dilakukan dengan bantuan dan kerjasama kerajaan dan NGO seperti Mercy Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan.

Tambah beliau, gandingan usaha dan tenaga daripada pihak-pihak berkenaan pasti akan mencapai matlamat yang dikehendaki sekaligus mengubati sedikit rasa luka dan penderitaan dialami warga Palestin.

“Bagi saya, yang rumit adalah apa akan berlaku selepas peperangan. Peperangan ini walaupun sudah sebulan ia akan berakhirlah…mesti ada tanda noktahnya di mana-mana.

“Hancur ke tak hancur ia tak pasti…harap-harap ia akan selesai secepat mungkin.

“Apabila ini berlaku inilah peranan dari semua orang daripada kerajaan, individu dan badan korporat (beri dana pembinaan semula),” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast