KUALA LUMPUR – MIC Wilayah Persekutuan hari ini merayu kepada Jabatan Pendidikan bagi memberikan cuti tambahan kepada para pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang merayakan Deepavali 12 November ini.
Kata beliau dalam satu kenyataan, beberapa negeri selain Wilayah Persekutuan telah memberikan cuti lebih panjang berbanding di sini hanya satu hari sebelum sesi persekolahan bermula seperti kebiasaan.
“Saya difahamkan kebanyakan Jabatan Pendidikan Negeri telah umum cuti khas Deepavali lebih dua hari bermula Jumaat 10 November (esok) hingga 14 November. Ada juga Jabatan yang umum lebih daripada itu tetapi hanya di sini sahaja umum sehari.
“Kita berpendapat satu hari sahaja tidak mencukupi bagi pelajar-pelajar khasnya dalam kalangan masyarakat India yang merayakan Deepavali bersama keluarga.
“Saya dihubungi oleh ramai ibu bapa yang ternyata terkejut dengan keputusan memberikan hanya sehari cuti Deepavali. Kita sangat berharap isu ini akan dapat diselesaikan mengikut pertimbangan kerana untuk perayaan lain juga cuti adalah lebih daripada sehari,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Dalam pada itu, Pemuda MIC Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Sashi Kumar Murugaya telah membuat pertemuan dengan Pemangku Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan, Dr Zalina Mohd Tahir dan sebuah surat rayuan MIC juga telah diserahkan bagi tindakan lanjut.
Jelas Rajah lagi, pihaknya hanya cuba menyampaikan kegusarkan oleh ibu bapa dan masyarakat setempat berhubung perkara dan sangat berharap di bawah Kerajaan Madani, permintaan itu dapat dipertimbangkan. -MalaysiaGazette