Ammar Atan

KUALA LUMPUR – Kelemahan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang angkuh untuk berbincang secara matang dengan Kerajaan Perpaduan punca empat ahli Parlimen mereka menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Ammar Atan berkata, tindakan itu menunjukkan wakil rakyat PN sudah hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Memandangkan keempat-empat ahli Parlimen Gua Musang, Jeli, Kuala Kangsar dan Labuan datang daripada parti berkenaan.

“Saya tidak terkejut jika lebih ramai ahli Parlimen Bersatu mula menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari-hari mendatang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ammar berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana kerajaan memerintah terbuka membuka pintu kerjasama dalam hal peruntukan khas kepada ahli parlimen pembangkang.

“Hatta semasa Tan Sri Muhyiddin berkuasa dahulu, mereka langsung tidak mahu bekerjasama,” katanya.

Beliau turut menyeru ahli-ahli Parlimen PN lebih tegas untuk menekan pimpinan utama khususnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk dilaksanakan segera perbincangan bersama pihak kerajaan.

“Hakikatnya, jika perbincangan telah berlaku awal tahun ini pasti isu perpecahan PN tidak akan berlaku, kerana pimpinan Datuk Seri Anwar bersedia untuk bekerjasama dengan terbuka.

“Ini adalah dana peruntukan khas dan bukannya hak ahli Parlimen serta tidak termaktub dalam mana-mana peraturan kewangan negara,” katanya.

Katanya lagi, ahli Parlimen PN diingatkan berhenti mempolitikkan perkara itu dan tidak mempersalahkan Perdana Menteri kerana sedia menerima kerjasama segelintir ahli Parlimen tertentu.

“Mengapa anda terlalu angkuh dan sombong untuk berbincang? Khuatir maruah hilang atau sengaja mahu timbulkan persepsi bahawa kerajaan ini zalim?

“Mungkin juga sudah tiba masanya, ahli-ahli Parlimen PN menggantikan ketua pembangkang yang hanya sibuk berpolitik 24 jam tanpa mengambil kira kepentingan ahli-ahli Parlimen PN keseluruhannya.

“Tidak salah untuk saya mencadangkan ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor yang sangat tegas dan jelas dalam isu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette