PEKAN – Seorang penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di daerah ini mengalami kerugian RM16,530 setelah diperdaya bagi mendapatkan perkhidmatan seks menerusi aplikasi Instagram.
Ketua Polis Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa telah melakukan 23 transaksi kepada empat akaun suspek dalam tempoh 11 hari kerana tertarik dengan tawaran yang diberikan.
”Mangsa berusia awal dua puluhan seorang pelajar IPTA tempatan, semasa mangsa berada di asrama telah menerima satu pesanan mesej melalui aplikasi Instagram.
”Suspek menawarkan perkhidmatan seks yang berada di Kuantan di mana mangsa berminat dengan tawaran dan menekan pautan yang diberikan serta terus berhubung dengan suspek melalui aplikasi ’nanbox’.
”Suspek telah menghantar gambar perkhidmatan seks untuk dipilih, mangsa kemudian berminat dan bersetuju dan memilih satu gambar perkhidmatan seks tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Selepas itu katanya, mangsa telah diminta membuat pembayaran pendaftaran dan kos lain termasuk mengarahkan mangsa menghantar gambar kad pengenalan serta maklumat akaun bank.
Mohd Zaidi berkata, penuntut itu sedar telah ditipu apabila suspek mengarahkan supaya membuat pindahan wang tambahan sebanyak RM2,200 bagi persiapan perkhidmatan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette