KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kecewa dengan tindakan dua lagi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan secara terbuka terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Timbalan Presiden Bersatu itu mengingatkan wakil rakyat yang berkenaan bahawa pengundi yang memilih mereka telah menolak kepimpinan PMX dan Barisan Nasional.
“Mereka menolak PMX dan BN maka mereka pilih PN, jadi apabila mereka (wakil rakyat) memilih untuk menyokong perdana menteri yang ditolak rakyat di situ saya rasa itu tidak tepat,” katanya kepada MalaysiaGazette malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke program Platform MG Suara Malaysia Untuk Palestin anjuran MalaysiaGazette dengan kerjasama Datumcorp International Sdn Bhd di Datum Jelatek Shopping Centre, di sini.
Mengulas lanjut, Faizal berkata, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik bakal dirujuk dan disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin Bersatu bagi menentukan sama ada tindakan mereka menyatakan sokongan terbuka itu melanggar etika dan perlembagaan parti itu.
“Ada proses yang akan dilalui, jika didapati kedua-dua mereka telah melanggar disiplin sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan parti, tentu mereka akan diberikan hukuman setimpal,” katanya.
Faizal ditanya sama ada kedua-kedua pemimpin tersebut akan senasib wakil rakyat Kuala Kangsar dan Labuan yang digantung keahlian kerana secara terbuka mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Anwar.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman telah digantung keahlian masing-masing selama empat dan enam tahun.
Faizal juga melahirkan rasa sangat kecewa tentang tindakan dua lagi wakil rakyat dari parti Bersatu menyokong kepimpinan Anwar.
“Saya faham tekanan sebagai ahli Parlimen pembangkang tidak mendapat peruntukan meskipun diperjelaskan perdana menteri bahawa peruntukan kepada rakyat yang diwakili kawasan pembangkang tetap ada.
“Saya juga mahu ingatkan mereka bahawa rakyat yang memilih mereka adalah rakyat yang menolak kepimpinan PMX dan BN maka mereka pilih PN, jadi apabila mereka memilih untuk menyokong perdana menteri yang ditolak rakyat saya rasa itu tidak tepat,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette