Sidang media yang dilakukan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz akan memangku jawatan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengosongkan kerusi tersebut hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, keputusan dibuat bagi membersihkan nama beliau di peringkat Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah terhadap perbuatan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram hari ini.

“Sesiapa yang menjawat jawatan Presiden perlu lebih putih daripada putih kerana beban tanggangjawab itu agak luar biasa.

“Dan tidak ada sesiapa pun termasuk diri saya lebih besar daripada parti yang diasaskan oleh kami semua dan rakyat Malaysia dengan dokongannya. Saya tidak tergolong dalam kumpulan tersebut,” kata Syed Saddi dalam sidang media.

Keputusan tersebut dibuat setelah satu perbincangan diadakan dalam Mesyurat Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan telah dipersetujui bersama pimpinan parti hari ini.

Syed Saddiq berkata, beliau tidak akan terlibat dalam apa-apa perbincangan membuat keputusan dalam parti sementara menjalani peroses mahkamah.

Bagaimanapun, beliau akan terus menggalas mandat rakyat sebagai Ahli Parlimen tunggal bagi parti MUDA dan menggalas tugas sebagai ahli MUDA.

Syed Saddiq dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan, serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid.

Menurut Azhar, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa bersubahat melakukan pecah amanah sebanyak RM1 juta dana milik sayap Angkatan Muda Bersatu (Armada) pada Mac 2020.

Bagi pertuduhan ini, Syed Saddiq diarah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan satu kali sebatan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 sumbangan parti milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan sekali sebatan.

Bagi dua pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dua transaksi RM50,000 setiap satu, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta, yang akan berjalan serentak. – MalaysiaGazette