SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Musolla Asy Syafi Hospital Sultan Idris Shah di sini bersama kira-kira 600 jemaah.
Beliau yang berbaju Melayu warna biru muda lengkap bersamping tiba di masjid itu pada pukul 1.05 tengahari sambil disambut jemaah.
Perdana Menteri kemudiannya bersama jemaah mendengarkan khutbah Jumaat bertajuk ‘Memelihara Kesucian Al Quran Tanggungjawab Bersama’ yang dibacakan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang, Mohamad Nazri Sobirin.
Solat Jumaat diimamkan Pengurus Masjid Raja Haji Fisabilillah Cyberjaya, Muhammad Ali Mohd Yunus.
Sebaik selesai menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri bersama ahli jawatankuasa masjid yang sama menikmati juadah makan tengahari yang disediakan.
Anwar meluangkan masa selama kira-kira 30 minit bersama jemaah sebelum meninggalkan perkarangan masjid sekitar pukul 2.20 petang. – MalaysiaGazette