Botol minuman restoran makanan segera terkemuka di Sunway Pyramid yang dicuri seorang lelaki sebelum ditangkap semalam.- Gambar ihsan Polis Subang Jaya.

SUBANG – Seorang lelaki yang aktif mencuri botol minuman dari sebuah restoran makanan segera dan pakaian sukan berjenama di pusat beli belah di Sunway Pyramid akhirnya ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada pelayan restoran tersebut mengenai kejadian pukul 12.20 tengah hari semalam.

Semasa kejadian, pengadu lelaki tempatan berusia 25 tahun itu semasa membuat pengiraan stok di premis menyedari dua botol minuman telah hilang melibatkan kerugian RM500.

“Hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati suspek seorang lelaki tempatan berpakaian warna putih dan seluar panjang warna hitam telah mengambil tumbler Starbucks di rak pameran dan memasukkan ke dalam beg seterusnya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Azlan, kes telah diklasifikasikan sebagai curi dalam bangunan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Bertindak atas maklumat, pada hari yang sama kejadian pada jam lebih kurang 1.30 tengahari, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Sunway telah membuat tangkapan ke atas lelaki berusia 24 tahun di pintu utama Sunway Pyramid.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek berjaya menemui barang yang dicuri suspek di dalam beg milik suspek tersebut. Hasil soal siasat lanjut terhadap suspek juga mendapati dia turut disyaki terlibat kes curi baju sukan pada 15 Oktober lalu di Sunway Pyramid dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM2,060,” ujarnya lagi.

Pakaian sukan berjenama yang dirampas dari suspek di rumahnya di Sunway Pyramid semalam.

Tegasnya, berpandukan maklumat pengakuan suspek itu, polis pada telah menyerbu rumah dihuni suspek di kawasan Bandar Sunway.

“Hasil pemeriksaan di dalam kediaman suspek berjaya membawa rampasan sebanyak 26 helai baju dan 10 helai seluar sukan jenama Nike dan Adidas,” katanya.

Suspek akan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau kes curi dalam bangunan. – MalaysiaGazette