Individu yang terlibat dengan insiden merusuh telah ditangkap dan berusia antara 18 hingga 20 tahun .

KLUANG – Lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam rusuhan di premis makan dekat Jalan Bunga Raya Layang-Layang pada Isnin lalu ditahan polis dalam lima tangkapan berasingan  pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kesemua yang ditangkap berusia antara 18 hingga 20 tahun ditangkap di rumah murah Layang-Layang, Taman Sri Kluang, Kluang dan di Jalan Tebrau, Johor Bahru.

“Pada 6 November lalu sekitar 10.37 malam, Polis Daerah Kluang menerima satu laporan polis berkaitan kejadian merusuh di sebuah kedai makan di Jalan Bunga Raya, Layang-Layang.

“Siasatan awal mendapati, suspek pertama dan kelima mempunyai satu rekod bersabit kes jenayah lampau.

“Manakala tiga lagi suspek didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek juga didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya  dan kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai 8 November bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette