Aksi penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza pada Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penjaga KL City FC, Kevin Ray Mendoza kini dikaitkan dengan perpindahan ke Persib Bandung mengikuti jejak rakan sepasukannya Giancarlo Gallifuoco yang turut dilaporkan akan berhijrah ke kelab sama di Indonesia.

Sekiranya spekulasi perpindahan ini menjadi realiti, Mendoza bakal bersatu semula dengan bos lamanya di KL City, Bojan Hodak.

Penjaga gol kebangsaan Filipina itu merupakan tonggak utama The City Boys sejak menyertai pasukan itu pada musim 2021.

Sepanjang tempoh tersebut, Mendoza membantu KL City menjulang Piala Malaysia (2021), naib juara Piala AFC (2022) dan naib juara Piala FA (2023).

Musim 2023 menyaksikan bekas penjaga gol AC Horsens itu membuat 16 penampilan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Dalam tempoh tersebut,  Mendoza hanya dibolosi 19 kali dan memastikan gawang kekal tanpa bolos sebanyak dua kali.

Begitupun, spekulasi menimbulkan persoalan tentang siapa pemain import yang bakal dilepaskan Pangeran Biru itu bagi memberi laluan kepada Mendoza.

Ketika ini, Persib memiliki Nick Kuipers (Belanda), Levy Madinda (Gabon), David da Silva (Brazil), Alberto Rodriguez (Sepanyol), Daisuke Sato (Filipina) dan Ciro Alves (Brazil) sebagai awang import mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast