PUTRAJAYA – Pemimpin DAP, RSN Rayer mengakui imej Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) semakin positif dalam kalangan masyarakat berikutan inisiatif dilakukan oleh pengerusinya, Datuk R Ramanan sejak pertengahan tahun ini.
Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong melahirkan keyakinan imej MITRA yang pernah menjadi bualan masyarakat India berikutan pelbagai skandal selama hampir 10 tahun akan berubah dengan sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rayer yang juga Ahli Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA akan bersama-sama pasukan itu juga akan memastikan setiap sen dana MITRA dikendalikan dengan lebih terbuka dan telus.
“Antara usaha itu termasuklah mendedahkan setiap penerima dana MITRA akan didedahkan supaya agihan lebih telus. Saya yakin pada masa akan datang persepsi, imej MITRA akan pulih dengan lebih banyak inisiatif serta usaha.
“Apa yang kita harapkan, objektif dan matlamat MITRA akan tercapai dengan lebih ramai masyakat India di negara ini akan mendapat bantuan lebih baik,” katanya pada program makan tengah hari bersama warga media dan MITRA di sini hari ini.
Sementara itu, Ramanan pula memberitahu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan imej serta tadbir urus dan tatakelola yang baik dapat terus dipelihara dengan baik sekali.
“Ketika ini SPRM akan terus pantau MITRA malah akan berada dalam setiap kita. Kita percaya SPRM akan segera bertindak jika wujud isu salah laku dan rasuah dalam unit khas itu.
“Pegawai itu akan memberi panduan dan memastikan dana Mitra ini dikendalikan dengan lebih baik tanpa sebarang isu salah laku, inilah ketelusan yang kita cakap. Saya sangat komited dalam perkara ini,” ujarnya.
Kata Ramanan, sejak mengambil alih MITRA, pendekatan yang dibawanya lebih inklusif dalam membawa suara masyarakat India, program-program pemerkasaan sangat bermanfaat dan fokus besar dibesarkan kepada golongan B40. – MalaysiaGazette