ALOR GAJAH – Seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Lebuh SPA berhampiran Terminal Kenderaan Berat di sini semalam.
Mangsa, Marfuza Arnida Marrudzuki, 23, graduan Pengajian Sains Kesihatan yang masih bujang sepatutnya menghadiri majlis graduasinya di USM Kubang Kerian, Kelantan pada 25 November ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku kira-kira 10.50 pagi semalam ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dari Sungai Udang menuju ke tempat kerjanya di sebuah restoran makanan segera di Ayer Keroh.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa tiba-tiba melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 24 tahun ketika lampu isyarat sudah bertukar hijau.
“Akibatnya, mangsa yang mengalami pendarahan di perut dikejarkan ke Hospital Melaka namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 malam ketika sedang menerima rawatan,” katanya.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati pemandu Myvi berkenaan positif ganja dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi bebas diminta tampil bagi membantu siasatan manakala kenderaan terlibat telah ditahan dan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette