Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya selama dua hari bermula esok sempena cuti sambutan Deepavali.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi berkata, pelaksanaan pemberian tol percuma itu akan bermula 12.01 tengah malam ini hingga dan berakhir pada Ahad pukul 11.59 malam.

“Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan semua rakyat Malaysia terutama masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Alexander, pemilihan tarikh bagi pemberian tol percuma itu bertujuan mengelak penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan ketika kembali semula ke bandar serta mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasa logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkanm pihak ketiga di kawasan hentian sebelah dan kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.

Ujar beliau, pihaknya menganggarkan jumlah trafik dalam masa dua hari itu sebanyak 11.8 juta kenderaan.

“Dengan pelaksanaan tol percuma ini diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya.

“Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan waktu perjalanan atau travel time adivisory (TTA) yang disyorkan,” tambahnya.

Katanya, aspek keselamatan serta pemanduan perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Deepavali akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta. – MalaysiaGazette