Pasangan kekasih maut dirempuh pemandu tiada lesen berusia 16 tahun.

SEBERANG PERAI – Pasangan kekasih yang bakal melangsungkan majlis pertunangan bulan depan maut dalam nahas selepas motosikal mereka dilanggar sebuah kereta yang dipandu remaja lelaki berusia 16 tahun.

Kejadian jam 2.30 pagi tadi di kilometer (KM) 1.9 Jambatan Pulau Pinang menghala arah Perai mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal berusia 20-an itu maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, hasil siasatan mendapati kereta dipandu remaja terbabit dikatakan melanggar belakang sebuah lori tangki minyak sebelum hilang kawalan lalu merempuh motosikal ditunggang pasangan berkenaan.

Jelas beliau, pasangan berkenaan mengalami kecederaan parah maut di lokasi manakala pemandu kereta pula cedera ringan.

Kemalangan membabitkan sebuah motosikal, kereta serta lori tangki minyak.

“Pemandu kereta berkenaan ditahan reman selama sehari bagi membantu siasatan.

“Manakala mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar bedah siasat di Hospital Seberang Jaya.

Difahamkan, remaja lelaki itu tidak mempunyai lesen memandu dan impak kemalangan menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan sebelum motosikal mereka terpelanting kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian.

Tambah Cheng San, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar bedah siasat di Hospital Seberang Jaya.
Jarak motosikal dengan mayat mangsa kira-kira 10 meter.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhammad Sufi Abd Razak di talian 013 477 4542,” katanya. – MalaysiaGazette