Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani menunjukkan gambar harimau malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

GUA MUSANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan akan menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia yang diserang hidupan liar dipercayai harimau belang dalam kejadian di sebuah ladang di Kampung Meranto di sini semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, siasatan akan dilaksanakan anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian yang terlibat untuk menentukan punca kematian sebenar.

“Sejurus menerima maklumat pada 10 pagi dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang semalam, anggota Perhilitan bersama pasukan SAR telah bergerak ke lokasi kejadian.

“Jarak antara bandar Gua Musang dengan kawasan ladang berkenaan lebih kurang 55 kilometer dan mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk sampai ke lokasi serta bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, mayat Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan dalam keadaan mengerikan dengan anggota tubuh badannya tidak sempurna selepas dipercayai dibaham harimau di kawasan kebun getah di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata, akses untuk masuk ke kawasan terbabit hanya dapat dilalui kenderaan pacuan empat roda menerusi laluan melibatkan jalan ladang.

Sebelum ini, katanya, terdapat satu kes kecederaan dan dua kematian melibatkan masyarakat Orang Asli akibat diserang harimau belang dicatatkan di negeri ini.

Beliau meminta orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak melakukan provokasi sekiranya terserempak dengan hidupan liar. – Bernama