IPOH – Pertumbuhan sektor agromakanan negara kekal positif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan domestik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sumbangan signifikan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 berjumlah RM173.9 bilion atau 11.5 peratus.
“Nilai tambahan ini meliputi pengeluaran agromakanan dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, mewakili Perdana Menteri merasmikan majlis berkenaan.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Bagaimanapun Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kebergantungan import makanan yang tinggi mencecah RM75.5 bilion tahun lalu merupakan cabaran yang perlu ditangani bagi meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata, trend juga menunjukkan peningkatan defisit perdagangan dalam sektor agromakanan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Justeru katanya potensi sektor agromakanan perlu dikembangkan sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.
“Fokus kerajaan Madani masa kini berada dalam landasan yang tepat untuk mengangkat dan memartabatkan sektor agromakanan,” katanya.
Anwar berkata, keterjaminan makanan yang diberikan tumpuan khusus dalam Belanjawan Madani 2024 merupakan cerminan usaha memperhebat kelangsungan industri agromakanan negara bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan import. – BERNAMA
















