KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya parti itu masih lagi menjadi harapan sebahagian rakyat Kedah walaupun tidak memenangi pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, gerak kerja UMNO perlu diperhalusi kembali bagi mendapat sokongan rakyat pada masa akan datang.
“Biarlah hari ini menjadi titik tolak untuk kita bangkit dan bersedia menyahut cabaran mendatang dengan penuh keazaman.
“Biarlah hari ini, menjadi medan musyawarah untuk UMNO Kedah mencipta resolusi kejayaan pada masa hadapan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid mengulas mengenai program pemukiman kepimpinan UMNO Kedah yang dihadirinya di Alor Setar, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memuji semangat serta kesungguhan pemimpin-pemimpin UMNO Kedah dalam usaha mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti.
“Saya menyebut peri pentingnya, dalam ruang muhasabah sebegini untuk kita terapkan tiga perkara yakni wahdatul fikr, wahdatul a’mal, wahdatul qalb atau kesatuan fikiran, kesatuan amal dan kesatuan hati,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















