KUALA LUMPUR – Polis menahan empat lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand selepas disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah di sebuah flat di Shah Alam, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, kesemua suspek yang berusia lingkungan 24 hingga 37 tahun itu ditahan pada 12.03 tengah malam.
“Semasa serbuan dibuat, suspek cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung flat tersebut namun kesemua mereka berjaya di tangkap dengan bantuan pasukan JBPM Shah Alam.
“Polis turut merampas pelbagai jenis barangan hasil dari pecah rumah, peralatan pecah rumah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kejadian itu turut tular di media sosial dalam video berdurasi dua minit 10 saat yang memaparkan tangkapan ke atas kelima-lima suspek oleh pihak polis yang dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Video itu memaparkan aksi mengepung suspek di atas bumbung flat berkenaan sehingga berjaya ditahan dan dibawa turun menggunakan jentera bomba.
Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan terdapat tiga kes pecah rumah dikaitkan di sekitar Shah Alam.
“Kesemua tangkapan telah direman selama lima hari bermula Sabtu (semalam).
“️Kes disiasat di bawah seksyen 457 kanun keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai empat belas tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat,” ujarnya. – MalaysiaGazette