MACC MITRA Funds Malaysian Indian Transformation Unit Ministry of National Unity B40
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memjelaskan ketika ini tiada pegawai agensi itu yang ditempatkan di Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Suruhanjaya itu memberitahu, ini kerana pegawai SPRM dilarang terlibat dalam mana-mana mesyuarat lembaga, jawatankuasa atau urus setia berkaitan perolehan di agensi luar mengikut 1Pekeliling Perbendaharaan (1PP).

Selain itu kata SPRM, berhubung isu penyelewengan dana MITRA, SPRM telah selesai membuat siasatan terhadap isu berkenaan dari tahun 2019 ke 2021.

“Susulan itu, SPRM telah berjaya mendapat pendakwaan terhadap 12 kes dengan 10 kes masih dibicarakan di mahkamah manakala dua kes tertuduh telah mengaku salah.

“Hasil dapatan siasatan, SPRM juga telah mengambil tindakan mengkaji tatakelola pengurusan dana MITRA untuk tujuan mengukuhkan tatacara dan ketelusan pengagihan dana MITRA kepada masyarakat India di negara ini,” kata SPRM dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu bagi memperbetulkan fakta yang berkemungkinan akan mengelirukan umum berikutan laporan dua akhbar berbahasa Inggeris pada 11 November 2023 yang bertajuk “MACC stations officer at Mitra for greater transparency” dan “MACC Officers to join MITRA meeting”.

Mengulas lanjut, SPRM berkata, Laporan Khidmat Nasihat Amalan, Sistem dan Tatacara Pengurusan Dana Untuk Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India oleh MITRA telah diberikan kepada Kementerian Perpaduan Negara pada 22 Februari 2022.

Ia sebagai langkah pencegahan untuk menutup sebarang ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan.

“Untuk makluman, Akta SPRM 2009 memperkasakan SPRM bukan hanya untuk menyiasat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, malah tindakan pencegahan untuk memastikan kesalahan yang sama tidak berulang pada masa hadapan,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast