JASIN – Kegembiraan enam sekeluarga menyambut Deepavali berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut manakala lima lagi termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Serkam, Bemban di sini petang tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan 1 (KUP) Mohd Sukur Md Ali berkata, turut cedera dalam kejadian kira-kira 5 petang itu adalah lima lagi individu lain yang menaiki kereta jenis Toyota Camry.

Ia menjadikan 10 mangsa cedera termasuk enam kanak-kanak dalam kejadian itu.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.13 petang sebelum 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan BBP Jasin Bistari tiba 12 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Persona dan Toyota Camry,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini

Menurutnya, enam individu iaitu tiga dewasa dan tiga kanak-kanak menaiki Proton Persona manakala Toyota Camry dinaiki dua dewasa dan tiga kanak-kanak.

Wanita penumpang Proton Persona disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan manakala semua mangsa yang lain cedera.

Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast