Tedros Adhanom Ghebreyesus

KUALA LUMPUR – Hospital Al-Shifa di Semenanjung Gaza tidak lagi beroperasi sebagai kemudahan perubatan, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

“Dunia tidak boleh berdiam diri manakala hospital, yang sepatutnya menjadi tempat selamat, berubah menjadi adegan kematian, kemusnahan dan kesedihan.,” tulis Tedros di media sosial X.

Beliau turut melahirkan kebimbangan akan peningkatan kematian pesakit.

Katanya, WHO telah berjaya berhubung dengan profesional kesihatan di hospital Al-Shifa di Gaza dan dimaklumkan keadaan di sana teruk dan berbahaya.

Sudah tiga hari hospital berkenaan tanpa elektrik, air dan dengan internet yang sangat lemah, sekali gus menjejaskan keupayaan kami untuk menyediakan penjagaan penting.

“Tembakan dan pengeboman berterusan di kawasan itu telah memburukkan lagi keadaan yang sudah kritikal,” tambah beliau.

“Sedihnya, jumlah kematian pesakit telah meningkat dengan ketara,” katanya sambil mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata di kawasan Palestin.

Israel telah melakukan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza termasuk ke atas hospital, kediaman dan rumah ibadat sejak kumpulan Palestin Hamas melancarkan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober lalu.

“Lakukan gencatan senjata. Sekarang,” gesanya. – MalaysiaaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast