KUALA LUMPUR – Jabatan Imigeren Malaysia (JIM) tidak menerima aduan secara rasmi daripada Kedutaan Besar Indonedia (KBRI) berkaitan penderaan, penganiayaan dan manipulasi pekerja Indonesia seperti dilaporkan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sehubungan itu, JIM mengalu-alukan pihak KBRI untuk mengemukakan aduan secara spesifik kepada JIM supaya siasatan dan tindakan lanjut dapat dilaksanakan.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM memandang serius mengenai isu ini dan menyatakan komitmen untuk tidak berkompromi kepada mana – mana majikan yang mendera, menganiaya serta memanipulasi pekerja asing.
“Jabatan ini sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Majlis Anti Pemerdangan Orang (MAPO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk menangani isu eksploitasi pekerja asing termasuk dari Indonesia.
“Selain itu, kebajikan dan perlindungan kepada Pekerja Domestik Indonesia merupakan antara perkara yang telah dimasukkan dalam Memorandum Persefahaman Antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia Mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Domestik Indonesia di Malaysia,” jelas beliau dalam kenyataan di sini.
Tambah Ruslin, JIM akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar undang-undang dan syarat penggajian PRA.
Mereka akan didakwa di mahkamah jika melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan akan disenarai hitam daripada menggajikan PRA.
Oleh itu, JIM menyeru supaya orang awam melaporkan dan menyalurkan sebarang maklumat berkenaan majikan yang menganiaya atau mengeksploitasi pekerja asing kepada Jabatan ini supaya tindakan yang tegas dapat diambil ke atas majikan tersebut.
Semalam, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berkata, isu penganiayaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia memerlukan penyelesaian segera dan tuntas daripada majikan serta penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono.
Beliau berkata, kira-kira 90 peratus aduan diterima Kedutaan Indonesia berkaitan pekerja domestik menunjukkan trend membimbangkan antaranya tidak dibayar gaji bulanan termasuk ada pekerja tidak menerima bayaran selama 19 tahun.
“Laporan turut menunjukkan terdapat kes dera dan penganiayaan seperti tidak diberi makanan, justeru menekankan kepentingan untuk intervensi,” katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Agung Konsulat Indonesia di Labuan.
Hermono berkata, penganiayaan turut membabitkan pekerja tidak berdaftar yang mungkin berpunca daripada ketiadaan kontrak perkhidmatan.
Beliau berkata terdapat majikan yang tidak mendaftarkan pekerja mereka kerana cuba mengelak membayar levi dan bayaran wajib lain, justeru menambah kepada peningkatan pekerja domestik tanpa dokumen.
Ruslin berkata, jumlah Pekerja Asing Indonesia yang mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sehingga 16 Oktober 2023 adalah seramai 447,094 orang.
Daripada jumlah ini, jumlah PRA Indonesia adalah berjumlah 57,916. – MalaysiaGazette