Home Nasional Lelaki bakar mercun sambil pandu kereta diberkas

Lelaki bakar mercun sambil pandu kereta diberkas

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing telah ditahan selepas tersebar sebuah klip video memaparkan dia memandu kereta sambil membakar mercun di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, sebuah kereta Proton Waja warna perak yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

“Polis mengesan satu klip video berdurasi 14 saat yang memaparkan sebuah kereta dipandu seorang individu sambil membakar mercun di Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur jam 8.30 malam semalam.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun di kedai majikannya tidak jauh dari lokasi kejadian pada jam 12 tengah malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Lelaki yang tidak memiliki lesen kenderaan itu bekerja di kedai jual sayur dan kereta yang digunakan milik majikannya.

Menurutnya, suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan direman empat hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawha Seksyen 7, akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan yang menyebabkan letupan dengan niat mendatangkan bahaya kepada nyawa dan harta benda.

Kesalahan ini memperuntukan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette