Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Pemuda UMNO menggesa Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi membuat permohonan maaf terbuka dan menarik balik kenyataannya yang menolak idea untuk menerima pelarian Palestin ke Sarawak.

Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kenyataan Sarawak tidak perlu menerima mana-mana pelarian, terutamanya mereka dari negara yang terkenal dengan keganasan, kemarahan dan kebencian tidak sepatutnya keluar dari mulut Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.

Sebaliknya, menurut beliau, kenyataan itu wajar ditujukan kepada Israel dan Malaysia seharusnya memberi perlindungan kepada rakyat Palestin yang ditindas dan dizalimi.

“Saya kesal dengan kenyataan itu yang juga memperlihatkan sikap penting diri dan tiada kepedulian terhadap kekejaman yang sedang dilakukan kepada mereka di sana.

“Ini bercanggah sama sekali dengan aspirasi yang dibawa oleh Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri yang berada di Persidangan Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menegaskan kedudukan dan solidariti Malaysia terhadap Palestin,” katanya menerusi kenyataan Facebook rasminya malam ini.

Menurut beliau, adalah amat malang apabila seorang menteri kabinet membuat kenyataan yang cukup dangkal dan kontradik dari semangat ditonjolkan Malaysia.

“Dalam keadaan warga Malaysia dan warga dunia berdukacita terhadap kekejaman yang melanda rakyat Palestin, kenyataan ini menambahkan lagi kekecewaan tersebut.

“Saya menggesa YB Alexander Nanta Linggi, sekiranya benar kenyataan ini dibuat, sila tarik semula dan memohon maaf secara terbuka,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

 

2 Komen

  1. Kalau tak nak terima jgnlah kata org Palestin tu pengganas, radikal dan sebagainya…bodoh punya menteri

  2. Majoriti bukan Islam di Malaysia mengganggap rakyat palestin dan penjuang hamas sbg pengganas. Sebab tu diorg berdiam diri saja bila kerajaan dan rakyat Malaysia lain membela penduduk Palestin. Kalau yg biadap sikit saja yg terang terang menolak apa apa bentuk solidariti palestin.

Comments are closed.