KUALA LUMPUR – Baki bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan dihantar esok.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, baki bekalan diambil alih Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd yang merupakan anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Terdahulu beliau berkata perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. bagi pembekalan berkenaan ditamatkan susulan berlaku kelewatan.
“Keseluruhan proses penghantaran disasarkan selesai dalam tempoh 10 hari,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu Mohamad berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju dengan permohonan berkenaan sekali gus membolehkan proses penghantaran baki Baja 3 diteruskan di bawah pengendalian syarikat baharu.
Beliau turut mengarahkan MADA memantau rapat proses penghantaran sehingga bekalan benar-benar diterima pesawah.
“Tiada ruang untuk kelewatan berulang apabila ia melibatkan keperluan asas pengeluaran padi dan sumber pendapatan pesawah.
“KPKM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan kepentingan pesawah dan kelancaran sektor pengeluaran makanan negara,” katanya.-MalaysiaGazette
















