Dr. Muhamad Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Pemilihan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman membuktikan ini cara politik baharu UMNO, kata Dr Akmal Saleh.

Ketua Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu berkata calon kali ini dipilih bukan dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO namun mengambil kira penerimaan pengundi di Parlimen Kemaman.

“Raja Mohamad bukan AJK bahagian UMNO tetapi dipilih berdasarkan kelayakan dan penerimaan masyarakat.

“Kalau Perikatan Nasional ada Ahli Parlimen Ketereh sebagai bekas askar, Barisan Nasional bawa masuk bekas Panglima Angkatan tentera pula ke dalam Parlimen.

“Insyallah (ini akan) memastikan politik tanah air kita diisi dengan ahli yang benar-benar layak untuk diangkat menjadi pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Raja Mohamed Affandi yang berkhidmat semalam 43 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diumumkan sebagai calon BN bagi merampas semula kerusi Parlimen Kemaman yang jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), tahun lalu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan tersebuat adalah hasil persetujuan BN dan UMNO Terengganu, selepas yakin Raja Mohamed Affandi mampu membawa perubahan di Kemaman.

Dalam pada itu, Akmal berkata Pemuda BN dan UMNO akan membantu Raja Mohamed Affandi bagi memastikan beliau memenangi kerusi tersebut.

“Pemuda BN akan sedaya upaya berusaha untuk memastikan kemenangan di PRK Kemaman. Kita berusaha, Allah menentukan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini, dan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November ini.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya negeri membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette