Hamas
Osama Hamdan - Gambar: Palestinian Information Center

BEIRUT – Hamas menyifatkan resolusi Sidang Kemuncak Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh, Arab Saudi kelmarin bagi menghentikan keganasan rejim Zionis Israel di Gaza sebagai tidak memenuhi jangkaan.

Pemimpin kanannya, Osama Hamdan berkata, resolusi tersebut tidak menyebut mengenai langkah praktikal dan segera bagi menamatkan pertumpahan darah yang dilakukan rejim Zionis Israel.

Namun, beliau memberitahu, Hamas menyambut baik resolusi yang menyeru ke arah membuka sekatan terhadap Gaza dan penghantaran bantuan dengan segera kepada penduduknya.

“Kami berharap resolusi itu dilaksanakan segera termasuk pembukaan pintu sempadan Rafah secara kekal dan mewujudkan laluan yang selamat untuk bantuan kemanusiaan,” katanya seperti dilaporkan Palestinian Information Center.

Krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing ekoran tindakan rejim Zionis Israel menyekat bekalan keperluan asas seperti elektrik, air dan makanan.

Setakat kelmarin, seramai 14,160 penduduk Gaza termasuk 5,830 kanak-kanak dan 3,211 wanita dibunuh sejak rejim Zionis Israel memulakan tindakan keganasannya di wilayah itu 7 Oktober lalu.

Dalam perkembangan sama, Osama berkata, sikap berdiam diri terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel di Hospital Baptis di Gaza seolah-olah ‘menggalakkan’ rejim Zionis itu meneruskan keganasannya.

Menurut beliau, seluruh dunia dapat melihat sendiri tindakan Israel mengebom hospital dan kakitangannya serta menyasarkan konvoi ambulans.

“Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Presiden Joe Biden bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah tersebut kerana ia dilakukan dengan menggunakan senjata buatan AS dan disokong oleh mereka,” jelasnya.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast