Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

MELAKA – Solat tahajud setiap malam menjadi sumber ketenangan bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini berdepan ujian getir di penjara selain menghadapi kes-kes mahkamah yang belum selesai.

Perkara itu dikongsikan anak perempuannya, Nooryana Najwa ketika berucap pada Program Pulangkan Najib di Dataran Baitul Tariq, Klebang Permai di sini, malam tadi.

“Mungkin inilah sebab apabila kita lihat wajah Najib di mahkamah kita selalu lihat wajahnya yang tenang, yang sabar.

“Dia sentiasa tabah, sentiasa tenang kerana dia tahu dia tidak bersalah,” katanya.

Beliau memberitahu, walaupun kini berada di dalam penjara, Najib masih memikirkan tentang rakyat dan selalu mengambil berat tentang kebajikan mereka.

“Beliau selalu tanya, rakyat di luar tu boleh makan ke, adik-adik kita boleh sewa rumah ke, ada tak dapat bantuan wang tunai?” jelasnya.

Malah, Nooryana Najwa berkata, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan tetap meluangkan masa untuk meneliti Belanjawan 2024 yang dibentang di Parlimen baru-baru ini.

“Dia tengok, baca belanjawan, cakap kalau belanjawan kita harus teliti sebab ia bukan sekadar nombor.

“Tapi setiap nombor mewakili satu harapan dan satu kehidupan untuk rakyat,” katanya.

Beliau menambah, Najib sentiasa menganggap rakyat sebagai ‘oksigen’ untuk dirinya dan tubuhnya yang lesu berubah menjadi segar apabila dapat berjumpa dengan mereka. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.