12 daripada 67 pengunjung sebuah pusat hiburan di Lebuh Chulia ditahan selepas didapati positif dadah.

GEORGE TOWN – 12 individu yang berada dalam keadaan ‘khayal’ antara pengunjung yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Chulia di sini, semalam.

Mereka berusia 19 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi Ops Pusat Hiburan pada jam 1.20 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, seramai 67 diperiksa dalam operasi itu sebelum 12 daripada mereka didapati positif dadah.

Dua wanita tempatan antara ditahan selepas saringan air kencing mendapati positif dadah.

“Saringan ujian air kencing mendapati 12 pengunjung yang terdiri dairpada 10 lelaki termasuk dua warga Indonesia serta dua wanita positif pelbagai jenis dadah antaranya methamphetamin, heroin dan THC.

“Kes disiasat di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang
 mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dari tiga tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, operasi sebegini akan diadakan sebagai rutin pemeriksaan bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di pusat hiburan.

Dua lelaki Indonesia antara pengunjung yang didapati berada dalam pengaruh dadah.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan aktiviti penggunaan dadah semasa mengunjungi pusat hiburan,” katanya. – MalaysiaGazette