Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing mengekalkan status sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah RM676.7 juta, hampir empat kali ganda jumlah dibeli pada minggu sebelumnya.

Setiap hari dalam minggu lalu merekodkan belian bersih, dengan Isnin mencatatkan aliran masuk tertinggi sebanyak RM359.2 juta, menurut MIDF Research.

Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih bagi minggu ini ialah perkhidmatan kewangan (RM194.4 juta), utiliti (RM123.1 juta), dan penjagaan kesihatan (RM111.3 juta).

Manakala hanya tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing iaitu tenaga (-RM23.8 juta), produk & perkhidmatan pengguna (-RM23.1 juta) dan REIT (-RM1.5 juta).

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi tempatan pula merekodkan jualan bersih sebanyak M551.2 juta minggu lepas, menandakan jualan bersih minggu kedua berturut-turut.

Setiap hari dalam minggu menyaksikan jualan bersih, dengan aliran keluar tertinggi berlaku pada hari Isnin sebanyak RM226.9 juta.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan melanjutkan jualan bersih mereka untuk minggu kelima berturut-turut, dengan jualan bersih berjumlah RM125.5 juta.

Aliran keluar dari Isnin hingga Rabu, manakala Khamis dan Jumaat aliran masuk masing-masing sebanyak RM13.0 juta dan RM29.7 juta.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak +8.5%, peruncit tempatan sebanyak +10.1% dan institusi tempatan sebanyak +11.2%. – MalaysiaGazette