Suhaila Md Zaini tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk menghadapi pertuduhan.

KUALA LUMPUR – Seorang penerbit Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di sini hari ini  atas dakwaan menerima wang tunai bernilai RM10,000 daripada pemilik syarikat FRZ Production pada 13 Julai 2018.

Suhaila Md Zaini, 44, didakwa menerima wang berkenaan daripada Fahror Rozi Zulkefli melalui akaun bank milik tertuduh dengan tanpa balasan yang diketahuinya mempunyai kaitan dengan tugas rasmi sebagi Penerbit Rancangan di RTM.

Pertuduhan dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin.

Suhaila diwakili peguam Gurmit Singh Hullon Esq.

Pihak pendakwaan memohon wang jaminan berjumlah RM10,000.00 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Namun, hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang berdekatan dan tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette