Abdul Halim ketika membuat lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terlibat dengan tanah runtuh baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor perlu campur tangan cadangan kenaikan cukai yang akan dilaksanakan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada tahun depan.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, kerajaan negeri perlu memainkan peranan sebagai orang tengah antara penduduk dan MBPG dalam menyelesaikan isu itu.

“Saya tidak mahu isu ini mencalarkan imej kerajaan Johor pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dikenali cekap, berkebajikan dan berjaya menyelesaikan pelbagai permasalahan dihadapi rakyat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk kawasan Tebrau ekoran kejadian tanah runtuh baru-baru ini.

Menurut Abdul Halim, penduduk Pasir Gudang berhak bersuara dan berasa marah dengan tindakan MBPG yang mahu menaikkan kadar cukai harta sehingga 40 peratus bermula tahun depan.

Rabu lalu, Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd Amin Ahmad memberitahu, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sedia menimbang pelaksanaan cukai baharu tersebut yang sebelum ini ditetapkan kenaikannya antara 40 sehingga 50 peratus. – MalaysiaGazette