Gambar hiasan

GUA MUSANG – Penduduk Kampung Seberang Lembaga dan sekitar Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini, digemparkan dengan penemuan beberapa kesan dipercayai tapak kaki harimau berhampiran kediaman mereka, semalam.

Seorang pekebun Raja Azmi Ramli, 64, berkata, penemuan jejak sebesar tapak tangan manusia itu menyebabkan dia mula takut untuk ke kebun sawitnya kerana bimbang terserempak dengan haiwan liar berkenaan.

“Sebelum ini saya akan ke kebun pada 9 pagi hingga tengah hari, namun hari ini hanya kira-kira sejam sahaja untuk membaja bersama anak lelaki.

“Saya harap pemantauan secara berterusan dapat dilakukan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana kami kini hidup dalam kebimbangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Zahari Daud, 53, pula berkata, beberapa laporan mengenai kehadiran pak belang akhir-akhir ini membuatkan lebih 100 pekebun di kawasan itu semakin gusar untuk melakukan aktiviti harian.

“Beberapa hari lepas kelibat haiwan liar itu dilihat di Jalan Subong, kelmarin (dua hari lepas) seorang penduduk merempuh harimau belang dan pada petangnya pula penemuan kesan tapak kaki di belakang rumah penduduk.

“Saya harap harimau terbabit dapat ditangkap segera supaya lebih 800 penduduk di sini dapat hidup dengan lebih tenang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan penemuan kesan tapak kaki berkenaan.

“Anggota Perhilitan telah ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan penduduk. Ukuran tapak kaki itu sudah diambil pagi tadi,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast