Tentera penceroboh Israel yang menjalankan operasi di Gaza.

GAZA CITY – Pasukan Pertahan Israel (IDF) mendakwa anggotanya telah melakukan operasi di bahagian tertentu Hospital al-Shifa bagi ‘memerangi Hamas’.

IDF mendakwa operasi tersebut dijalankan berdasarkan maklumat perisikan dan keperluan operasi sambil menafikan bahawa kemasukan tentera Zionis akan membahayakan nyawa pesakit.

“Operasi itu didahului dengan usaha untuk mengosongkan hospital (termasuk) pesakit dan mereka yang berlindung, malah koridor khas dibuka,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan penceroboh itu berkata, pihaknya telah memaklumkan pengurusan hospital sebelum tentera Israel memasuki perkarangan dan bahagian tertentu al-Shifa.

Menurut laporan The Times of Israel, tentera berperang menentang Hamas “di bahagian tertentu” dengan mengekalkan tuduhan bahawa kumpulan pejuang Palestin itu menjadikan Hospital al-Shifa sebagai markas dan pusat arahan.

Media sebelum ini melaporkan, tentera Israel telah mengebom bangunan di sekitar kawasan hospital selain meletakkan anggota penembak tepat di luar al-Shifa.

Pihak hospital itu sebelum ini mendakwa beberapa kejadian pelarian yang berlindung telah ditembak ketika mahu meninggalkan kawasan pusat kesihatan terbesar di Gaza.-Agensi