JELI – Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik menafikan tuduhan beliau diugut dan disogok oleh pihak tertentu sehingga membuatkan beliau menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tidak ada campur tangan ‘broker politik’ atau campur tangan seperti didakwa. Saya minta mana-mana pihak berkaitan supaya menghentikan sebarang kenyataan yang berunsur fitnah.
“Jika ada pihak berterusan membuat fitnah, saya tidak keberatan mengambil tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli, di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Zahari dari Bersatu menang kerusi Parlimen Jeli mewakili Perikatan Nasional (PN).
Zahari juga mengulangi tindakan beliau menyokong Perdana Menteri demi kepentingan rakyat dan pengundi di kawasan Parlimen Jeli.
“Setakat ini saya masih belum menerima sebarang surat daripada Lembaga Disiplin parti susulan tindakan itu. Saya reda dan terima apa sahaja hukuman yang bakal dikenakan selepas ini,” katanya.
Pada 8 November lepas, Zahari membuat kejutan apabila menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, sehari selepas Ahli Parlimen Gua Musang daripada PN Mohd Azizi Abu Naim membuat keputusan yang sama. – Bernama