Kereta dipandu mangsa remuk teruk apabila dilanggar oleh oleh dua buah lori dar arah depan dan belakang di di Kilometer 137 Jalan Kuantan-Johor Bahru pada malam tadi

KUANTAN – Dua lelaki maut apabila kenderaan dinaiki dirempuh sebuah lori kecil dari belakang sebelum bertembung dengan lori pembancuh simen dari arah bertentangan di Kilometer 137 Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat Rompin, semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, pemandu dan penumpang kereta tersebut yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala merupakan pekerja katering dan pembantu perubatan

Kereta Nissan Almeera yang dinaiki Mohd Rahmat Ab Rahim, 34, dan Muhammad Amirul Mukmini Mat Daud, 31, dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Johor Bahru.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta memberhentikan kenderaan untuk masuk simpang ke sebuah kedai makan di sebelah kanan jalan.

“Pada masa sama, sebuah lori dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu terlanggar kereta mangsa hingga terbabas masuk ke haluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori simen yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, bagaimanapun kedua-dua pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan serta luka-luka kecil di bahagian kepala.

Azahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Rompin bagi tujuan bedah siasat dan ujian calitan Covid-19.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987. – MalaysiaGazette