KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan terus meneroka peluang untuk bekerjasama dengan Petronas dan syarikat-syarikat industri pertahanan bagi program-program Kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah itu adalah bagi memberi pendedahan mengenai laluan pendidikan kepada sekolah-sekolah serta laluan kerjaya dalam bidang industri pertahanan kepada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Ini kerana katanya, inovasi dalam bidang pertahanan banyak terkait dengan program yang dilaksanakan oleh syarikat GLC itu.
“Kalau kita lihat dalam bidang industri itu sendiri atau dari segi teknologi termasuk segi sosial.
“Jadi, tahun hadapan kita akan adakan beberapa program lagi, bukan sahaja melibatkan inovasi tetapi, banyak lagi program yang kita akan buat.
“Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan atau pun pengajian tinggi termasuk pihak GLC termasuk Petronas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Akhir Inovasi Pertahanan Peringkat Kebangsaan Bersama Majlis Penutup Program Membudayakan R&D Pertahanan di Sekolah 2023, di sini, hari ini.
Menurut Adly, Mindef sentiasa mengadakan perbincangan dengan semua pihak mengenai langkah-langkah tertentu termasuk dalam pendidikan.
Ujarnya, sebagaimana disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 iaitu mengenai peningkatan bajet untuk pendidikan dan inovasi yang seumpamanya. – MalaysiaGazette