Adly Zahari

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari menyifatkan pemilihan jawatan bagi mengisi kekosongan di Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tiada kaitan dengan parti itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, pemilihan anggota Kabinet merupakan hak prerogatif Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya, terdapat ramai tokoh di dalam di dalam PAN yang berpotensi untuk mengisi jawatan di peringkat Persekutuan.

“Saya fikir dalam pelantikan menteri (untuk mengisi jawatan Menteri KPDN) tiada kaitan dengan pemilihan Parti Amanah Negara kerana pemilihan menteri ini di bawah pregogetif PM (Perdana Menteri).

“Jadi, saya fikir seperti yang saya sebut awal tadi, ia terpulang kepada Perdana Menteri dalam menentukan kepimpinan di peringkat kementerian itu sendiri.

“Di Parti Amanah Negara, kita ada banyak tokoh yang berpotensi boleh mengisi pelbagai jawatan di peringkat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Akhir Inovasi Pertahanan Peringkat Kebangsaan Bersama Majlis Penutup Program Membudayakan R&D Pertahanan di Seklah 2023, di sini, hari ini.

Beliau ditanya wartawan mengenai pandangan pemerhati politik apabila mengatakan terdapat dua faktor mengapa Perdana Menteri masih belum melantik pengganti Salahuddin.

Menurut Mujibu Abd Muis yang juga Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), terdapat kemungkinan Perdana Menteri mahu membuat rombakan Kabinet yang tidak hanya melibatkan jawatan tersebut sahaja.

Beliau turut menolak andaian bahawa Perdana Menteri menunggu parti Amanah melantik Timbalan Presiden yang baharu iaitu jawatan yang dipegang oleh Salahuddin sebelum ini.

Sementara itu, ditanya mengenai ada pihak yang menyebut beliau antara nama yang disebut-sebut menggantikan jawatan yang sandang oleh Allahyarham Sallahuddin, Adly berkata, terdapat ramai tokoh di dalam PAN yang boleh mengisi jawatan di dalam Kabinet.

Amanah akan melaksanakan pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah bagi penggal 2023-2026 termasuk jawatan Timbalan Presiden yang kosong berikutan kematian Salahuddin pada Disember ini. – MalaysiaGazette