SEREMBAN – Seorang pengarah syarikat serta dua pekerja kapal tangki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menyeleweng lebih 30,000 liter minyak diesel, Jumaat lepas.

Pengarah syarikat KIJ Global Sdn Bhd, Nazrulkamal Mohamad, 41, bersama dua lagi yang masih bebas didakwa memiliki barang kawalan berjadual 36,654 liter minyak diesel dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan minyak diesel secara borong tanpa lesen.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jeti Aquatred and Services Sdn Bhd, Bengkel Kampung Tanjung Agas, Pekan Pasir Panjang, Port Dickson kira-kira 9 pagi pada 10 Nov lepas mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama.

Dua pekerja kapal tangki Wong Chew Yuan, 61, dan seorang warga Indonesia, Warsito, 36, turut didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu di tempat dan waktu sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, syarikat KIJ Global Sdn Bhd turut didakwa atas kesalahan sama mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2 juta, manakala kesalahan kali kedua atau berulang didenda tidak melebihi RM5 juta.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan Nazrulkamal diikat jamin RM25,000 manakala Wong dan Warsito dikenakan ikat jamin RM15,000 setiap seorang, masing-masing dengan seorang penjamin, dan hakim kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 18 Disember ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sophian Zakaria dan Nor Alimah Mohd Sanusi manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast