CAPTION:Keat Chuan hadir di Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama TNB dan GSPARX di KPJ Dato' Onn petang tadi.

JOHOR BAHRU – Penyedia penjagaan kesihatan, KPJ Healthcare Berhad bakal melakar sejarahnya apabila menjadi hospital swasta pertama yang menggunakan tenaga solar dalam operasi semua hospitalnya.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, bagi memastikan matlamat itu dapat dicapai, pihaknya hari ini menjalin kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikatnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) untuk menjana penggunaan tenaga solar.

“Inisiatif proaktif ini sejajar dengan keperluan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga mampan alam sekitar dalam sektor penjagaan kesihatan.

“KPJ Healthcare berada di barisan hadapan dalam memupuk masa depan yang mampan di Malaysia. Kerjasama strategik tenaga solar kami merupakan satu langkah penting ke arah penggunaan tenaga yang lebih bersih dan mengurangkan kesan alam sekitar kami,” katanya dalam sidang media selepas Majlis menandatangani Perjanjian Bersama TNB dan GSPARX di KPJ Bandar Dato’ Onn hari ini.

Strategik yang diperkukuh dalam Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) selama 20 tahun menandakan keazaman kumpulan itu mempromosi tenaga boleh diperbaharui seterusnya mengurangkan jejak karbonnya.

Menerusi perjanjian itu, fasa pertama pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) itu melibatkan lima Hospital Pakar KPJ terpilih iaitu KPJ Bandar Dato’ Onn, KPJ Johor, KPJ Kluang, KPJ Seremban dan KPJ Rawang.

“Kerjasama strategik tenaga solar kami merupakan satu langkah penting ke arah penggunaan tenaga yang lebih bersih dan mengurangkan kesan alam sekitar.

“Fasa pertama akan menyaksikan pemasangan sistem PV solar atas bumbung di lima Hospital Pakar KPJ dan kami merancang untuk meluaskan penggunaan tenaga solar ini ke Hospital Pakar KPJ kami yang lain menjelang suku ketiga 2024,” katanya.

Turu hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Operasi TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri.

Keat Chyuan berkata, inisiatif itu menyokong usaha kerajaan menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 dan sejajar dengan keperluan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga mampan alam sekitar dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Langkah KPJ Healthcare ke arah tenaga boleh diperbaharui merupakan satu usaha untuk mengurangkan jejak karbon dan memperkukuh misi kelestarian operasinya.

“Sebagai sebuah entiti yang beroperasi 24  jam, hospital sememangnya mempunyai penggunaan tenaga yang tinggi. Kami menyasarkan 10 peratus daripada penggunaan tenaga kami daripada sumber boleh diperbaharui dan mengurangkan 25 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2025,” katanya.

Jelas beliau peralihan kepada tenaga suria yang tidak memerlukan pelaburan awal selain dijangka akan mengurangkan kos elektrik pihaknya.

Penjimatan itu jelasnya akan disalurkan semula untuk penambahbaikan penjagaan pesakit dan meningkatkan kualiti perkhidmatan. – MalaysiaGazette