KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan semua pelatih yang akan memulakan kerjaya sebagai pegawai kanan supaya sentiasa menjauhkan diri daripada segala bentuk salah laku dan amalan rasuah.
Malah beliau turut menggesa agar mereka sentiasa patuh kepada undang-undang negara serta perintah pasukan.
“Perlu diingat, bahawa tugas ini merupakan satu amanah yang telah disandarkan di bahu kita dan akan dihisab di akhirat kelak.
“Tuan-tuan dan puan-puan hendaklah memahat nawaitu dalam diri, untuk menjadi seorang pegawai polis yang berintegriti dan jujur kerana keberkatan dalam pekerjaan itu, membawa keberkatan dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Pelatih Bil 10 Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Seramai 538 pelatih berjaya menamatkan latihan yang dijalankan selama sembilan bulan.
Terdahulu dalam ucapannya, Razarudin telah menetapkan dua fokus utama yang perlu dipatuhi oleh seluruh warga pasukan bagi memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berada pada landasan yang betul.
Pertama, katanya, Perkhidmatan PDRM bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik manakala fokus kedua adalah mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.
“Kedua-dua fokus ini perlu digerakkan secara total di setiap peringkat, dengan integriti kekal menjadi indikator terpenting dalam membentuk keperibadian pegawai polis yang cemerlang,” ujarnya. – MalaysiaGazette