Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis masih mengumpul risikan sekiranya terdapat ancaman berhubung pendirian dan kelantangan Malaysia membela nasib warga Palestin yang dizalimi rejim zionis di Gaza.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ketika ini pihaknya tidak menerima laporan terhadap ugutan daripada luar berhubung perkara itu.

“Buat masa ini ugutan secara direct (terus) tiada tapi kita masih mengumpulkan risikan dan setakat ini semua berada pada tahap sangat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) 2023, di Pusat Latihan Polis (Pulapo) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin bulan lalu mendedahkan menerima ugutan dari negara luar berhubung tindakannya yang menyuarakan pendirian negara dengan lantang.

Katanya, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.

Sementara itu ditanya sama ada, polis ada menerima laporan daripada mana-mana individu berkenaan ugutan berkenaan, Razarudin memberitahu, belum ada lagi.

Media sebelum ini melaporkan PDRM akan mengumpul maklumat sekiranya terdapat aktiviti membabitkan ejen perisikan Mossad di negara ini ekoran timbul ugutan terhadap Perdana Menteri yang menyatakan sokongan kepada Gaza dan Palestin.

Razarudin dilaporkan berkata, polis melalui pasukan risikan akan mengumpul maklumat sebanyak mungkin berkaitan perkara itu.

Ia termasuk isu ejen Mossad, sabotaj ekonomi atau ejen pengintipan, katanya. – MalaysiaGazette