Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diumumkan sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman (P040) malam tadi

KEMAMAN – Perikatan Nasional (PN) mensasarkan majoriti sekurang-kurangnya 30,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman setelah meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri sebagai calon.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sokongan pengundi dijangka bertambah berikutan calondan dapat melonjakkan Kemaman serta negeri Terengganu sendiri.

”Bila saya umumkan calon, reaksi publik sangat postif, lima calon diangkat dan kita melihat bukan sahaja untuk peluang menang calon tetapi peluang yang besar dapat dimainkan oleh calon.

”Kita meletakkan Dr. Ahmad Samsuri sebagai pilihan pertama dan mengharapkan lebih besar majoriti seperti Pengarah Pilihan Raya Pas sendiri dengan sasaran 30,000 majoriti.

”Kita usaha namun dengan syarat peratusan keluar mengundi lebih dari 75 hingga 80 peratus mengundi dan faktor kedua calonnya tidak perlu diperkenalkan lagi,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PN mengambilkira pendapat berdasarkan hasil kajian daripada golongan seperti profesional, pertengahan dan rakyat di negeri itu yang bersetuju meletakkan Samsuri yang dilihat mempunyai banyak kelebihan untuk menaikkan Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sejurus Majlis Pengisytiharaan Calon Pas Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman di Dewan terbuka Kemaman Arena Square malam tadi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias Hamid dari Pas menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.

Che Alias berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340) undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab.Ghani (506) undi.

Sementara itu, Dr. Ahmad Samsuri pula berkata pemilihannya itu dianggap akan memberi nilai tambah kepada Terengganu sekiranya menang kerusi P040 itu.

Menteri Besar Terengganu itu yakin dengan kewujudan Ahli Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Kemaman akan memainkan peranan dalam kerja di kawasan Parlimen itu.

Mengulas lanjut, beliau akan terus berjuang bersama jentera parti dan menghormati sesiapa sahaja calon yang bertanding dan berharap semua pengundi turun menunaikan tanggungjawab.

”Saya sentiasa menghormati calon hatta calon bebas sekali pun kerana mereka sanggup menanggung risiko dan bertanding.

”Saya tidak pandang sebelah mata, kita tidak boleh selesa, jentera Pas dah digerakkan beberapa minggu namun bergitu tak boleh padang rendah pihak lawan,” katanya.

Terdahulu BN telah mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calonnya pada 13 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini serta hari penamaan calon ditetapkan esok manakala undi awal pada 28 November.

PRK itu diadakan selepas keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di kawasan itu pada PRU15 tahun lepas berhubung isu rasuah. – MalaysiaGazette