PENAGA – “Kita mengharapkan individu  daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup  (KPDN) bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub namun kuasa penentuan itu hanya boleh dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.”

Demikian tegas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika diminta mengulas mengenai pelantikan menteri KPDN yang masih belum dilakukan meskipun penyandangnya sudah meninggal dunia hampir empat bulan.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah menyifatkan Perdana Menteri mempunyai hak mutlak untuk menentukan anggota Kabinetnya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada pihaknya sudah menghantar nama calon pengganti bagi jawatan tersebut, Mohamad enggan mengulas sebaliknya secara berseloroh menyifatkan semua ahli Amanah layak menjadi menteri.

“Nama dalam kalangan semua ahli Amanah layak untuk menjadi menteri.

“Kami ada lebih kurang 200,000 ahli dan semuanya layak kerana itu hak Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan Parti Amanah Kawasan Kepala Batas di Bakau Tua di sini, malam tadi.

Kerusi Menteri KPDN kosong susulan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada 23 Julai lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor selama dua penggal, meninggal dunia akibat pendarahan otak ketika menerima rawatan Unit Rawatan Rapi HSB.

Ketika ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali diarahkan untuk memangku tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup buat sementara waktu.

Bagaimanapun, media tempatan sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yang kini menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dinamakan sebagai individu yang akan mengisi kekosongan jawatan Menteri KPDN susulan kematian penyandangnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast