Adly (dua dari kiri) selepas merasmikan persembahan Seniman Bangkit di PPAS yang turut bersamanya, Mohd Azmi (kiri), Dinsman (dua dari kanan) dan Kassim (kanan).

SHAH ALAM – Sebuah kumpulan seniman dari Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI) menyuarakan sokongan mereka terhadap rakyat Palestin melalui teater dalam Program Seniman Bangkit Membela Palestin pada 14 November lalu.

Presiden Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Datuk Che Shamsuddin Othman atau lebih dikenali dengan nama Dinsman berkata, program anjuran bersama PAKSI, MAPIM dan PPAS itu bertujuan untuk menyuarakan pembelaan terhadap rakyat Palestin yang ditindas dan dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis di bumi Gaza sekaligus menentang kezaliman Israel.

Menurutnya, karya teater itu diadaptasi dari buku skrip “Tetamu Dari Medan Perang” yang ditulis oleh beliau sendiri.

“Buku skrip teater tersebut dilakonkan dua pemegang watak utama iaitu Sultan dan Queen di sebuah negeri yang terletak di Asia Tenggara, yang mengisahkan sikap tidak apa dan tidak peduli pemerintah dalam usaha menyelamatkan umat Islam daripada dibunuh dan ditindas oleh pemegang kuasa dunia, Amerika Syarikat.

“Dalam teater ini, hujah terhadap Islam, umat Islam dan pemimpin Islam memang begitu menonjol, terutamanya melalui sebahagian kecil dialog antara Queen dan Sultan yang berbalah demi mempertahankan umat Islam daripada diperkotak-katikan manusia barat,” katanya.

Beliau berkata, watak Sultan yang dilakonkan oleh Timbalan Pengerusi PAKSI, Kassim Muhamad, dan Queen oleh seniman Sharifah Khatijah.

Pementasan teater yang berlangsung selama kira-kira setengah jam itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, dalam Program Seniman Bangkit Membela Palestin di PPAS Shah Alam pada baru-baru ini.

Majlis turut dihadiri tiga Sasterawan Negara (SN), termasuk SN Datuk A. Samad Said, SN Datuk Zurinah Hassan, dan SN Datuk Siti Zainon Ismail, serta Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hami. – MalaysiaGazette