KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah Scientex Berhad perlu lebih bertanggungjawab memastikan rumah yang mereka bina dan jual memenuhi harapan pembeli.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Jabatan Perumahan Negara (JPN) perlu memantau lebih teliti projek perumahan Scientex agar pembeli tidak teraniaya.

“Kelmarin, saya melihat sendiri kualiti pembinaan rumah berada pada tahap mengecewakan. Kemasan dinding yang beralun, simen dan cat dinding tidak sekata, bumbung pecah dan banyak lagi kecacatan dapat dilihat.

“Malah wayar elektrik utama juga ada yang dipasang melintang dan tidak ditutup di hadapan rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Pada 25 Jun lalu, Wan Saiful bertemu dengan wakil pembeli rumah Fasa 1 di Taman Tasek Gelugor Utama, Pulau Pinang yang mengadu mengenai kecacatan rumah yang dibangunkan Scientex Berhad.

Rentetan itu, beliau memanggil wakil Scientex untuk perbincangan bersama pembeli pada 20 Julai lalu.

Hampir empat bulan kemudian, pembeli masih kecewa kerana proses pembaikan amat perlahan dan banyak kecacatan yang dikenal pasti.

Tambah beliau, semua kecacatan itu amat meresahkan pembeli dan aduan telahpun dibuat kepada Scientex.

“Namun Scientex seolah-olah tidak mengambil serius aduan mereka. Scientex adalah syarikat besar yang mempunyai projek perumahan di banyak negeri.

“Tidak wajar sebuah syarikat besar berkelakuan begini terhadap pembeli,” katanya.

Katanya lagi, pihak berkuasa perlu memantau projek-projek yang dijalankan oleh Scientex agar pengalaman di Tasek Gelugor tidak berulang di tempat lain.

“Saya menggesa agar Scientex mengambil tanggungjawab untuk perbaiki segera kecatatan pada rumah-rumah yang mereka bangunkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette